Seminar Serantau

Persenjataan Dan Pertahanan Dalam Sastera Dan Sains Warisan

“Membangun Benteng Patriotisme Bangsa”

3 Oktober 2018
Dewan Persidangan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan

2018

Bahan sastera banyak membuat rakaman tentang kewujudan tradisi persenjataan Melayu Nusantara serta kegunaannya dalam pertahanan diri dan negara daripada ancaman musuh. Persenjataan dan pertahanan adalah dua unsur yang saling berhubungan antara satu sama lain, sama ada dari sudut prinsip, falsafah atau amalannya. Persenjataan yang lengkap amat memerlukan strategi pertahanan yang mantap dan demikianlah juga sebaliknya. Sebilah keris emas mungkin tiada memberi erti kepada pemakai yang tiada memiliki kemahiran menggunakannya, termasuk dari segi ritual kebatinannya. Sejarah peperangan masyarakat Melayu Nusantara menentang penjajahan asing dari Barat telah menyaksikan berbagai-bagai bentuk kejayaan dan kekalahan yang melibatkan sama persoalan persenjataan dan strategi pertahanannya. Apakah orang Melayu mengalami kekalahan demi kekalahan dalam peperangan akibat kelemahan dalam persenjataan, atau kelemahan strategi pertahanan, atau atas sebab-sebab yang lain daripada itu?

Karya sastera adalah cerminan masyarakat yang melahirkannya, dan hal ini juga benar bagi karya sastera yang berisi dengan budaya persenjataan dan pertahanan Melayu, atau dengan kata-kata lain, budaya dan seni perang masyarakat Melayu Nusantara. Perkara ini perlu dibincangkan semula secara ilmiah sebagai suatu bentuk warisan sejarah dan budaya yang kaya dengan nilai peradaban dan kearifan bangsa. Antara lain, seminar bakal merungkai beberapa persoalan penting yang berkaitan dengan nilai keperibadian dan patriotisme masyarakat. Karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Syair Perang Mengkasar atau Hikayat Anggun Che Tunggal mengandungi banyak keterangan tentang senjata dan ilmu persenjataan Melayu, di samping strategi-strategi pertahanan perang yang tersendiri. Atas nama raja, bangsa, negara dan agama, orang Melayu berjuang bermatian-matian menentang kemaraan musuh, tetapi akhirnya menemui kegagalan gara-gara persenjataan dan pertahanan yang ketinggalan zaman. Pernyataan ini perlu mendapat kupasan dan reaksi yang lebih kritis daripada para sarjana berdasarkan sumber penelitian dan teori yang lebih baharu dan pelbagai.

Objektif

  1. Membincangkan kepelbagaiaan tradisi persenjataan dalam konteks sastera dan budaya masyarakat Melayu Nusantara.
  2. Mengenengahkan teknologi pertahanan masyarakat silam dalam mempertahankan negeri dan wilayah daripada ancaman musuh.
  3. Menampilkan kewujudan ilmu sains warisan yang dimiliki oleh masyarakat terdahulu dalam membina sistem persenjataan dan pertahanan mereka dan kelerevanannya dalam kehidupan masa kini.
  4. Membangkitkan semangat patriotisme dan suara rakyat dalam mempertahankan negara dan maruah bangsa daripada sebarang ancaman dalam dan luar negara.